BERFIKIR DAN MEMBUAT TAAKULAN
Dr. Noor Aina Dani
1.0 Pendahuluan
MANUSIA BERFIKIR dari pagi sampai ke malam, dan manusia berfikir berterusan
walaupun semasa sedang tidur. Pernyataan Descartes yang terkenal, yang berbunyi,
“I think, therefore I am” mungkin boleh disongsangkan menjadi “I am, therefore I
think”. kerana tidak satu pun hari berlalu tanpa manusia merancang, menyelesaikan
masalah, menginferensi, menganalisis hubungan, mencari penjelasan, dan menyusun
semula flotsam dan jetsam dunia mentalnya.
Cuba fikir apa yang fikiran lakukan kepada manusia. Fikiran membebaskan
manusia daripada belenggu keadaan masa sekarang. Kenapa agaknya? Manusia boleh
berfikir tentang satu lawatan yang pernah dibuat tiga tahun dahulu, jamuan yang
dirancang pada hari Sabtu minggu depan, atau mengimbau semula kenangan zaman
kanak-kanak. Fikiran membawa manusia menerawang di luar batas realiti. Manusia
boleh berimaginasi tentang Puteri Gunung Ledang, jambatan emas, dan nenak
kebayan bongkok lima. Kerana manusia berfikirlah maka manusia dapat mencari
jalan penyelesaian bagi masalah yang sedang dihadapi. Manusia dapat menyelesaikan
masalah tanpa membuta tuli. Yakni, berbekalkan pengetahuan dan ditambah dengan
sedikit usaha, manusia boleh menyelesaikan sesuatu masalah dengan bijak.
2.0 Konsep
Untuk menerangkan kebolehan berfikir yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia,
ahli psikologi kognitif menyamakan fikiran dengan alat memproses maklumat.
Analoginya seakan-akan sama dengan komputer tetapi fkiran jauh lebih kompleks.
Menyamakan fikiran dengan alat memproses maklumat adalah penting kerana ahli
psikologi kognitif menganggap otak tidak mencatat maklumat secara pasif.
Sebaliknya, otak mengubah dan menyusun maklumat dengan aktif. Apabila manusia
melakukan sesuatu tindakan, manusia memanipulasikan persekitarannnya secara
fizikal; apabila manusia berfikir, otak memaparkan gambaran objek, aktiviti, atau
situasi tertentu. Walau bagaimanapun, manusia tidak menggunakan semua maklumat
yang diterima dengan sekali gus. Jika digunakan juga maka keputusan yang paling
mudah sekali pun sukar untuk dibuat. Masalah yang berat pula mengambil masa yang
lama untuk diselesaikan. Bayangkanlah jika seseorang yang ingin membeli belacan
berfikir tentang semua belacan yang ada dalam pasaran, kemudian berfikir pula
tentang jenama belacan yang perlu dipilih, seterusnya ada yang berfikir pula tentang
gelagat orang yang sedang makan sambal belacan. Berfikir adalah satu perbuatan
yang munasabah kerana gambaran dalaman yang ada pada otak menolong manusia
merumuskan maklumat yang diterima dari persekitaran.
Gambaran dalam fikiran disebut konsep. Konsep adalah satu kategori mental
yang mengelompokkan objek, perkaitan, aktiviti, pengertian mujarad, atau kualiti
yang mempunyai sifat yang sama. Konsep mengandungi beberapa contoh yang lebih
kurang sama. Misalnya, mawar, teratai, dan bakawali ialah contoh bagi konsep
bunga; manakala marah, gembira dan sedih ialah contoh bagi konsep emosi. Oleh
sebab konsep memudahkan tanggapan manusia tentang dunia, manusia tidak perlu
mempelajari satu nama baru untuk setiap benda, perkaitan, aktibivi, pengertian
mujarad, atau kuantiti. Seseorang mungkin tidak pernah menjadi songkla atau makan
bosou, tetapi jika dia tahu bahawa contoh yang pertama ialah kucing Siam sementara
yang kedua makanan, maka dia akan tahu cara untuk bertindak balas terhadap
konsep-konsep tersebut.
Manusia membentuk konsep melalui hubungan secara langsung dengan objek,
situasi, dan simbol. Simbol ialah gambaran atau lambang untuk sesuatu perkara.
Simbol terbentuk daripada perkataan, formula matematik, peta, graf, gambar, isyarat
badan dan lain-lain seumpamanya. Simbol bukan sahaja digunakan untuk objek tetapi
juga untuk operasi (con., simbol + dan -), hubungan (con., = dan <), dan kualiti (con.,
titik dalam nota musik yang melambangkan kualiti not muzik yang dimaikan satu
persatu).
Konsep ialah blok-blok binaan akal fikiran tetapi menjadi terhad
penggunaannya jika dilonggokkan di dalam otak. Manusia perlu menggambarkan
hubungan antara satu konsep dengan yang lain. Satu cara ialah menggunakan
proposisi, iaitu unit makna yang terdiri daripada beberapa konsep, yang melahirkan
satu gabungan ide. Satu prososisi boleh melahirkan hampir semua jenis pengetahuan
(con., “KLIA terletak di Sepang”) atau kepercayaan (con., “Nombor 8 nombor
bertuah bagi orang Cina”). Proposisi merangkaikan idea-idea yang sukar tentang
pengetahuan, kepercayaan, perkaitan, dan jangkaan. Ahli-ahli psikologi memanggil
rangkaian ini skema kognitif. Skema kognitif ialah model yang menggambarkan
aspek dunia dalam minda manusia. Misalnya, skema gender menggambarkan
kepercayaan seseorang tentang jantina dan jangkaannya tentang makna ‘lelaki’ atau
‘perempuan’. Pada zaman Arab Jahiliyah, skema gender menakutkan seseorang bakal
ibu, jika dia melahirkan anak perempuan, maka anak itu akan ditanam hidup-hidup
kerana dianggap membawa sial. Manusia juga mempunyai skema kognitif tentang
budaya, pekerjaan, binatang, lokasi geografi, ciri sosial yang lain dan persekitaran
semula jadi.
Kebanyakan ahli psikologi kognitif percaya bahawa imej visual, gambaran
dalam mata minda penting sewaktu berfikir. Walaupun kita tidak boleh melihat imej
yang terbentuk dalam minda seseorang, ahli psikologi mampu mempelajarinya
dengan secara tidak langsung. Satu kaedah yang digunakan adalah dengan mengukur
masa yang diambil oleh sampel untuk meligarkan sesuatu imej dalam mindanya,
mengimbas imej dari satu titik ke titik yang lain, atau menyisihkan beberapa perincian
daripada satu imej. Hasil daripada kaedah yang digunakan ke atas sampel, didapati
bahawa imej visual dalam minda manusia mempunyai banyak persamaan dengan imej
pada skrin televisyen. Walau bagaimanapun, imej visual manusia terbentuk dalam
ruang mental yang bersaiz tetap. Saiz yang kecil (kanak-kanak) mengandungi
perincian yang kurang daripada saiz yang besar (orang dewasa) (Kosslyn, 1980).
Pengalaman hidup banyak mempengaruhi imej visual manusia. Dalam satu kajian,
pengguna-pengguna American Sign Language (orang-orang pekak) didapati lebih
cekap mengenal imej visual yang rumit, di samping dapat pula mengenali imej
daripada pantulan cermin yang tidak berdasarkan American Sign Language. Oleh itu,
penggunaan bahasa isyarat dianggap dapat memupuk kemahiran imaginasi manusia
(Emmorey, Kosslyn & Bellugi, 1993). Dalam kajian yang lain pula, kanak-kanak
yang masih kecil belum cekap menerbit, mengimbas, dan meligarkan imej visual
secara mental sebagaimana kanak-kanak yang lebih tua daripadanya atau orang
dewasa (Kosslyn, et al., 1990a).
Selain itu, kebanyakan orang turut melaporkan kewujudan imej yang disebut
‘imej auditori’ (contohnya, apabila seseorang berfikir tentang satu lagu atau sesuatu
perbualan). Terdapat juga modaliti imej deria yang lain, iaitu sentuhan, rasa, hidu,
atau sakit. Ada juga yang melaporkan tentang kewujudan imej kinestetik, iaitu deria
rasa pada otot dan sendi. Walaupun imej dalam otak sering kali mempunyai tujuan
yang tidak nyata, kadang-kadang manusia menggunakannya untuk memberi
gambaran logik tentang sesuatu keputusan, memahami deskripsi lisan atau memberi
huraian lisan dengan jelas dan tepat, menaikkan motivasi, atau meningkatkan
kecenderungan (Kosslyn et al., 1990b). Contoh yang pernah diberikan oleh Drukman
& Swets (1988) ialah kemahiran olahraga, seperti menyelam atau lari pecut dan
kecekapan melakukan sesuatu tugas (Drukman & Swets, 1988). Kajian imbasan otak
yang terbaharu membuktikan bahawa latihan mental berupaya mengaktifkan
kebanyakan litar otak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kendiri (Stephen et
al., 1995).
Semasa merumuskan idea-ideanya, Albert Einstein banyak bergantung pada
imej visual dan kinestetik. Einstein pernah mengingati semula peristiwa yang paling
menggembirakan dalam hidupnya, yang berlaku pada tahun 1907. Dengan tiba-tiba
dia terbayang seorang lelaki yang terjatuh dari bumbung sebuah rumah. Dia sedar
bahawa terdapat ruang kosong yang tidak mengalami tarikan medan graviti di
sekeliling lelaki itu. Dengan kata lain, ukuran ruang dan masa adalah berkaitan.
Wawasan dalam Einstein mencetuskan rumusan tentang prinsip relativiti asas. Mulai
saat itu, fizik tidak lagi seperti dahulu.
3.0 Proses Mental
Sewaktu berfikir, terdapat aktiviti dalam otak yang dilakukan berdasarkan matlamat
yang disedari oleh individu. Misalnya, menyelesaikan masalah atau membuat
keputusan tetapi bukan semua proses mental dilakukan secara sedar. Proses bawah
sedar terletak di luar daripada kesedaran seseorang tetapi boleh dibawa kepada
kesedaran apabila perlu. Proses ini membenarkan manusia mengendalikan lebih
daripada satu maklumat. Manusia boleh melakukan lebih banyak tugas yang rumit,
yang tidak bergantung semata-mata kepada fikiran secara sedar. Dengan kata lain,
proses bawah sedar membolehkan manusia melakukan lebih daripada satu tugas
secara serentak (Kahneman & Treisman, 1984). Mari kita fikirkan semua perkara
yang biasa kita lakukan “tanpa berfikir”. Dengan latihan yang sesuai, kebolehan
memproses maklumat yang semerta membolehkan manusia belajar melakukan tugastugas
yang sukar secara serentak, seperti membaca dan mencatat nota.
Proses tidak sedar berlaku di luar kesedaran tetapi boleh mempengaruhi
tingkah laku. Misalnya kebanyakan manusia mempunyai pengalamn yang ganjil
apabila tiba-tiba saja muncul idea dalam fikiran sewaktu kebuntuan. Orang selalu
berkara mereka lebih bergantung kepada intuisi daripada taakulan sedar ketika
menyelesaikan sesuatu masalah. Kajian menunjukkan bahawa sebenarnya intuisi ialah
susunan pengalaman yang diproses melalui dua tahap (Bowers et al., 1990) Pada
tahap yang pertama, klu bagi sesuatu masalah akan mengaktifkan memori atau
pengetahuan tertentu dengan serta merta, dan manusia mula melihat satu pola atau
struktur masalah yang tertentu. Proses yang berlaku secara tidak sedar ini
membimbing manusia untuk membuat satu firasah. Pada tahap yang kesua, seseorang
sedar tentang suatu penyelesaian yang munasabah. Tahap ini mungkin terasa
semacam satu penyingkapan minda yang berlaku dengan tiba-tiba, lalu tercetuslah
ayat, “Ha, dah terfikir!”. Untuk sampai ke tahap ini, otak terpaksa bekerja keras
tetapi perkara ini berlaku tanpa kita sedari.
Terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh manusia tanpa disedari.
Sebagai contoh, dalam satu kajian, seorang ahli psikologi, Libet (1985) memberitahu
sukarelawan untuk melonggarkan otot-otot pergelangan tangan atau jari apabila
mereka teringin berbuat demikian. Sebaik sahaja kemahuan tersebut timbul,
sukarelawan mencatat kedudukan satu titik yang berputar seperti jam pada satu skrin.
Molekul-molekul elecktrod memantau perubahan aktiviti otak yang berlaku dengan
serta merta sebelum pergerakan otot bermula. Perubahan ini dikenali sebagai
“kesediaan tenaga keupayaan”. Libet mendapati bahawa kesediaan tenaga keupayaan
berlaku lebih kurang setengah saat sebelum pergerakan otot, tetapi secara sedar
kemahuan menggerakkan otot-otot (seperti yang disimpulkan daripada laporan
kedudukan titik) berlaku lebih kurang tiga per sepuluh saat selepas itu. Dengan
perkataan lain, sebahagian daripada otak memulakan tindakan sebelum bahagian yang
lain (bahagian yang sedar) tahu tentangnya.
Libet membuat analogi, bersandarkan kejadian seorang pelari pecut
mendengar bunyi pistol pemula perlumbaan. Pelari pecut akan meluru ke depan dalam
kurang daripada satu persepuluh saat selepas bunyi pistol, namun masa itu sangat
pendek untuk membolehkan seseorang menanggap bunyi dengan secara sedar.
Mengikut Libert, agaknya pelari pecut bertindak balas secara tidak sedar. Selepas
bunyi memasuki ruang kesedaran, otak membetulkan urutan bunyi. Sebab itu pelari
pecut berfikir dia telah mendengar bunyi sebelum dia memecut.
Kebanyakan daripada kita berfikir secara sedar tetapi tidak bersungguhsungguh.
Kita bertindak, bertutur, dan membuat keputusan di luar kebiasaan, tanpa
berfikir sejenak untuk menganalisis perkara yang sedang kita lakukan atau mengapa
kita melakukannya. Langer (1989) telah menamakan inertia mental ini mindlessness
(tak kisah). Dia mendapati bahawa individu yang bersikap tak kisah memproses
maklumat tanpa mengenali satu perubahan tingkah laku dalam konteks perlu. Dalam
satu kajian yang dijalankan oleh Langer dan rakan-rakannya, seorang penyelidik akan
mendekati beberapa orang pelanggan sebaik sahaja mereka hendak menggunakan
mesin pendua. Penyelidik menyuarakan salah satu daripada tiga permintaan yang
berbunyi begini: “Maafkan saya, boleh saya guna mesin xeroks ini?” “Maafkan saya,
boleh saya guna mesin xeroks ini kerana saya perlu buat beberapa salinan?” atau
“Maafkan saya, boleh saya guna mesin xeroks ini?, saya tergesa-gesa!”
Kebiasaannya, seseorang akan membenarkan orang lain melakukan sesuatu jika
alasan yang diberi berpatutan, seperti permintaan yang ketiga. Dalam kajian ini,
manusia bersetuju dengan sesuatu permintaan jika alasan yang diberi boleh dipercayai
walaupun alasan tersebut tidak mengandungi makna (“kerana saya perlu buat
beberapa salinan”). Lazimnya, yang didengar ialah bentuk permintaan, bukan
kandungan permintaan tersebut.
Memproses maklumat dengan sikap tak kisah ada juga kebaikannya. Jika
manusia sering berfikir dua kali tentang tindakan yang bakal dilakukan, manusia
menghadapi masalah untuk melaksanakan tugas-tugas seharian (“Okey, sekarang saya
sedang memberus gigi; sekarang saya menyapu ubat gigi di permukaan berus gigi,
sekarang saya sedang memberus gigi geraham saya ................................”). Tetapi
sikap tak kisah boleh menyebabkan manusia rugi, walaupun perkara itu remeh-temeh
(meletakkan minyak dalam cucian atau kereta terkunci dari dalam), atau perkara yang
serius (memandu dengan cuai). Langer (1989) berpendapat kesedaran penuh hanya
benar-benar diperlukan jika manusia sengaja membuat satu pilihan atau apabila
berlaku sesuatu peristiwa yang tidak dapat dikendalikan dengan spontan. Kesedaran
katanya, boleh disamakan dengan tugas ahli bomba. Kebanyakan masa dihabiskan di
pejabat, manakala tugas sebenar hanya bermula apabila mendengar bunyi siren
kebakaran.
4.0 Taakulan dan Kreativiti
Taakulan ialah aktiviti mental yang berkaitan dengan pencarian maklumat untuk
mencapai satu kesimpulan. Taakulan tidak seperti tindak balas di luar sedar.
Taakulan memerlukan manusia membuat inferensi daripada pemerhatian, fakta, atau
andaian. Dua daripada jenis taakulan yang paling asas ialah taakulan deduktif dan
taakulan induktif. Kedua-duanya melibatkan penarikan kesimpulan daripada satu siri
pemerhatian atau proposisi.
Bagi taakulan deduktif, jika premis atau dasar taakulan benar, maka
kesimpulan sudah tentulah benar. Taakulan deduktif seringkali mengambil bentuk
silogisme, iaitu bentuk taakulan yang dengannya keputusan diambil dari dua usul.
Silogisme adalah satu argumen mudah yang mengandungi dua premis dan satu
kesimpulan.
Contohnya:
premis Semua manusia mesti mati.
premis Saya manusia.
kesimpulan Oleh itu, saya mesti mati.
Semua manusia berfikir dalam bentuk silogisme. Banyak premis diluahkan
dengan implisit. Misalnya, Saya tidak perlu bekerja pada hari minggu. Hari itu hari
minggu. Oleh itu, saya tidak bekerja hari ini.
Bagi taakulan induktif, premis menyediakan sokongan untuk satu kesimpulan
tetapi kesimpulan tidak semestinya betul. Kesimpulan tidak semestinya berdasarkan
premis yang terdapat dalam silogisme. Sering kali, manusia menganggap taakulan
induktif sebagai penarikan kesimpulan yang umum daripada pemerhatian yang
khusus, sebagaimana kita membuat generalisasi daripada pengalaman: Saya pernah
makan sebanyak tiga kali di restoran itu; makanannya lazat. Tetapi satu argumen
induktif boleh juga mempunyai premis yang umum. Dua ahli ilmu mantik (Copi &
Burgess-Jackson, 1992) memberi contoh yang berikut:
All cows are mammals and have lungs.
All whales are mammals and have lungs.
All humans are mammals and have lungs.
Therefore probably all mammals have lungs.
Sebaliknya, argumen induktif mempunyai kesimpulan yang khusus:
Kebanyakan orang yang ada tiket langgan ke pusat itu suka muzik.
Jamilah ada tiket langanan ke pusat itu.
Oleh itu Jamilah suka muzik.
Sains banyak bergantung pada taakulan induktif. Saintis membuat
pemerhatian yang teliti, kemudian memberi beberapa kesimpulan yang difikir betul.
Tetapi bagi taakulan induktif, walau seberapa banyak pun bukti yang terkumpul, tidak
mustahil jika maklumat yang baru akan menunjukkan bahawa bukti yang terkumpul
itu sudah ketinggalan zaman. Sebagai contoh, Hasnah mendapati bahawa makanan di
sebuah restoran z lazat rasanya. Hasnah membuat kesimpulan ini selepas tiga kali
makan di restoran tersebut. Tetapi sebenarnya makanan dalam menu yang belum
pernah dipesan oleh Hasnah tidaklah sesedap makanan yang lain. Contoh yang lain
ialah kita mengetahui bahawa Jamilah melanggan tiket konsert semata-mata kerana
mahu menyukakan hati seorang kawan. Demikianlah juga dengan maklumat saintifik
yang baru. Hal ini menunjukkan bahawa kesimpulan yang terdahulu adalah salah dan
perlu disemak semula.
Dalam keadaan yang lain, banyak orang menghadapi masalah apabila mereka
cuba berfikir secara logik. Sebagai contoh, silogisme yang berikut dianggap betul
walaupun tidak semestinya betul:
Orang kaya tinggal di rumah yang cantik dan besar.
Orang itu tinggal di rumah yang cantik dan besar.
Oleh itu, orang itu kaya.
Orang itu mungkin betul kaya, tetapi kesimpulan tidak boleh dibuat daripada
premis yang telah diberi kerana ada orang yang tinggal dalam rumah yang cantik dan
besar tetapi bukan orang kaya. Mungkin rumah itu disewa atau dibeli sewaktu
harganya masih murah. Kesalahan seperti ini berlaku kerana secara mental manusia
menterbalikkan satu premis. Dalam kes ini, ayat Orang kaya tinggal di rumah yang
cantik dan besar ditukar kepada ayat yang berbunyi, Orang yang tinggal dalam
rumah cantik dan besar adalah kaya. Premis yang diterbalikkan ini memanglah logik
tetapi bukan seperti ayat yang asal.
Logik ialah senjata penting yang perlu ada dalam gudang kognitif manusia
tetapi logik sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah sosial dan psikologi.
Satu sebab ialah individu yang berlainan mungkin mencapai kesimpulan yang
berlainan jika bermula dengan premis yang berlainan. Logik cuma memberi
maklumat kepada manusia jika sesuatu premis benar. Di samping itu, logik perlu
disusuli satu kesimpulan. Oleh itu, logik tidak dapat menentukan sama ada sesuatu
premis itu benar atau salah.
Walaupun kita yakin dengan premis yang ada dalam fikiran kita, kita tidak
semestinya mempunyai penyelesaian yang betul bagi sesuatu masalah. Katakan A
menduduki peperiksaan kelayakan masuk ke maktab perguruan. A memerlukan
maklumat untuk membuat satu kesimpulan, khususnya jawapan yang difkir betul
untuk satu soalan. Taakulan deduktif dan induktif berguna untuk masalah yang seperti
ini. Sebaliknya, menyelesaikan masalah dengan menggunakan taakulan tidak formal
adalah berlainan kerana biasanya maklumat tidak lengkap dan banyak pendekatan dan
sudut pandangan yang bersaing. A terpaksa memilih keputusan yang paling logik
berdasarkan pengetahuan yang ada padanya, walaupun penyelesaian yang diharapkan
agak samar. Ahli-ahli falsafah menyebut penyelesaian masalah yang sebegini sebagai
struktur yang tidak sempurna. Sebagai contoh, perlukah kerajaan menaikkan atau
menurunkan cukai? Apakah cara yang paling baik untuk meningkatkan kesedaran
sivik? Adakah sekarang masa yang baik untuk membeli kereta?
Secara rasional, isu yang sedemikian memerlukan lebih daripada sekadar satu
pemikiran yang logik. Manusia perlu berfikir secara dialektik. Taakulan dialektik
ialah kebolehan menilai sudut pandangan yang berlainan. Ahli falsafah, Richard Paul
(1984) menganggapnya sebagai proses menggerakkan garis-garis taakulan yang
bertentangan ke arah atas dan bawah, menggunakan setiap satu garis untuk menyoalbalas
isu. Cara inilah yang sepatutnya dilakukan oleh juri untuk sampai kepada satu
keputusan yang muktamad. Secara ideal, keputusan juri tidak dicapai dengan
menggunakan beberapa formula atau satu set prosedur. Keputusan juri dibuat dengan
menggunakan pertimbangan fikiran yang terbuka terhadap alasan yang menyokong
dan membantah kes, fakta dan semakan fakta. Kebanyakan orang tidak dapat
menaakul secara dialektik kerana menganggap semua pendapatnya betul dan mahu
kepercayaannya diterima oleh orang lain.
Penyelesaian masalah dalam dunia yang sebenar membolehkan seseorang
berfikir secara kreatif. Apabila beberapa strategi dan peraturan yang digunakan pada
masa lampau berjaya, kecenderungan untuk menggunakannya semula akan menjadi
satu kebiasaan. Dengan cara ini, individu mengembangkan satu set mental, iaitu satu
kecenderungan untuk menyelesaikan masalah yang baru dengan menggunakan
prosedur yang sama, yang berjaya digunakan sebelum ini. Set mental membantu
manusia menyelesaikan masalah. Dengan menggunakan set mental maka manusia
dapat mencipta berbagai-bagai rekaan seperti roda, dan manusia tidak perlu mencipta
semula roda kerana sudah ada patennya. Tetapi set mental tidak banyak membantu
jika sesuatu masalah memerlukan kaedah penyelesaian yang baru. Set mental
menyebabkan manusia bergantung pada andaian dan strategi yang lama. Set mental
membutakan pemikiran manusia untuk menerobos keluar daripadanya bagi mencari
penyelesaian yang lebih baik. Ketegaran mental sebeginilah yang menghalang
manusia berfikir dengan berkesan.
Berikut adalah satu latihan. Salin titik-titik yang berikut. Adakah anda boleh
menyambungkan titik-titik tersebut dengan menggunakan empat garis lurus, tanpa
mengangkat pensil daripada kertas. Garisan mestilah melintasi setiap titik. Bolehkah
anda melakukannya?
Banyak orang tidak dapat menyelesaikan masalah ini kerana mereka mentafsir
susunan titik sebagai satu segiempat. Apabila telah ada set mental yang sedemikian,
mereka tidak dapat meluaskan satu garisan di luar sempadan segi empat tersebut.
Kecenderungan menanggap sifat membolehkan kita mengandaikan tentang dunia,
tetapi bagi latihan ini, penyelesaian yang betul memerlukan kita menentang
kecenderungan yang sedia ada.
Manusia yang kreatif berupaya keluar daripada corak penanggapan dan
fikiran yang tegar supaya dapat melahirkan penyelesaian yang baru. Mereka
menggunakan fikiran menyimpang. Mereka tidak menggunakan jalan yang sudah
dicuba dan betul sahaja, malah meneroka jalan sampingan lalu menerbitkan masalah
yang logik. Mereka menemui hipotesis baru, menggambarkan berbagai-bagai tafsiran
sebagai pilihan, dan mencari-cari pertalian yang tidak jelas. Sebagai hasilnya, mereka
dapat menggunakan konsep yang biasa digunakan dengan cara yang tidak diduga.
Sebaliknya, individu yang kurang kreatif bergantung semata-mata pada fikiran
memusat, mengikut langkah yang difikir akan memusat kepada satu penyelesaian
yang betul.
Mengapakah sesetengah orang boleh berfikir secara kreatif manakala yang
lain sangat sukar untuk keluar daripada belenggu pemikiran yang tertutup?
Kebanyakan orang menjawab soalan ini dengan berandaian bahawa kreatif mesti ada
sepenuhnya dalam pemikiran seseorang. Situasi yang tertentu boleh memelihara
kreativiti dan mendorong seseorang untuk lepas daripada belenggu pemikiran yang
tegar. Kajian menunjukkan bahawa kreativiti cenderung untuk tumbuh dengan subur
apabila seseorang (1) mempunyai kawalan ke atas cara melakukan satu tugas atau
mempunyai kawalan ke atas cara menyelesaikan satu masalah; (2) sedang dinilai; dan
(3) bekerja secara berdikari (Amabile, 1983). Organisasi tertentu menggalakkan
kreativiti di kalangan pekerjanya dengan membenarkan pekerjanya mengambil risiko,
memberi banyak masa untuk berfikir tentang masalah-masalah operasi, dan menerima
saranan inovasi. Susunan tempat kerja yang seperti ini menggalakkan mutu
pencapaian kerja yang tinggi.
Berbagai-bagai ciri sahsiah turut dikaitkan dengan kebolehan berfikir secara
kreatif, termasuk yang berikut (Schank, 1988; Helson, Roberts & Agronick 1995):
1. Tidak patuh kepada sesuatu kebiasaan
Individu yang kreatif tidak kisah dengan apa yang orang lain fikir tentang
dirinya. Dia bersedia mengorbankan imej atau kelihatan bodoh dengan
mencadangkan pendapat yang pada mulanya seperti tidak masuk akal.
2. Kebebasan
Orang yang tinggi daya kreativitinya cenderung untuk bekerja seorang diri
daripada bekerja dalam satu kumpulan kerana semasa zaman kanak-kanaknya,
individu tersebut sering digalakkan untuk menyelesaikan masalah sendiri
dengan tidak bergantung pada orang lain.
3. Keyakinan
Secara am, orang yang kreatif tidak takut gagal dan tidak mahu menilai
sesuatu kejayaan yang diraihnya terlalu tinggi. Individu ini suka menyahut
cabaran yang rumit, samar, atau sukar. Dia dapat mengawal ledakan emosi
yang kadang-kadang boleh menjejaskan kebijaksanaan atau menawarkan
hatinya.
4. Ingin tahu
Orang yang kreatif mempunyai kegemaran yang luas. Dengan itu, dia
mengumpul asas pengetahuan yang luas. Dia terbuka kepada pengalaman yang
baru dan melihat teka-teki kehidupan seharian yang tidak dihiraukan oleh
orang lain. Orang yang kreatif sering mengemukakan soalan yang bersangkut
paut dengan benda atau perkara yang dilihatnya. Dan ini adalah langkah yang
pertama ke arah berfikir secara kritis. Dia melihat rama-rama, bertanya kenapa
rama-rama mesti menjadi beluncas terlebih dahulu. Dia hairan kenapa pasar
raya yang terletak di penjuru kiri jalan laris barangannya berbanding pasar
raya di seberang jalan walaupun mengadakan jualan murah empat kali setahun
(Roger Schanl, 1988).
5. Ketekunan
Ketekunan adalah sifat semula jadi yang paling penting yang perlu ada pada
orang yang kreatif. Thomas Edison, pencipta bal lampu yang ulung pernah
berkata, Genius terbentuk daripada satu peratus inspirasi dan sembilan puluh
sembilan peratus keringat.
5.0 Halangan bagi Pemikiran Logik dan Kreatif
Minda manusia merupakan satu benda yang ajaib. Untuk mengetahui mengapa
spesies yang sampai ke bulan ini berupaya balik ke bumi, ahli-ahli psikologi kognitif
telah mengkaji bagaimana kognitif menghalang taakulan.
Manusia sering membuat pertimbangan atau keputusan dalam keadaan yang
tidak menentu. Untuk menyelesaikan masalah ini, seseorang hanya perlu
menggunakan algorithm, iaitu satu kaedah yang disyorkan untuk menghasilkan satu
penyelesaian walaupun dia tidak tahu cara algoritma bekerja. Untuk membuat kek,
seseorang hanya perlu menggunakan satu algoritma yang dipanggil resepi. Untuk
menyelesaikan masalah-masalah yang umum, selain harus mempunyai kemampuan
membuat pertimbangan reflektif, taakulan dialektik, dan kreativiti, seseorang
memerlukan pengetahuan heuristik. Heuristik seringkali digunakan sebagai jalan
pintas untuk menyelesaikan masalah yang kompleks. Seorang pelabur cuba
meramalkan bursa saham, pemilik cuba membuat keputusan sama ada ingin
menyewakan pangsa purinya atau tidak, doktor cuba menentukan rawatan yang paling
baik untuk pesakitnya, kaunselor menasihatkan pasangan yang bermasalah, pemilik
kilang cuba meningkatkan pengeluaran. Mereka semua berhadapan dengan maklumat
yang tidak lengkap tetapi pada masa yang sama terpaksa membuat keputusan
berdasarkan pertimbangan yang saksama. Dengan itu, mereka dikatakan bergantung
pada heuristik.
Heuristik membantu manusia membuat pertimbangan yang berpatutan, tetapi
sesetengahnya tertakluk kepada kecondongan kognitif. Kecondongan kognitif
mempengaruhi cara kita membuat sesuatu keputusan (Tversky & Kahneman, 1986).
Terdapat banyak kecondongan yang berkaitan dengan cara orang berfikir dan
membuat keputusan. Berikut adalah sebahagian kecil daripadanya.
1. Menokok tambah sesuatu yang tidak benar
Salah satu kecondongan ialah kecenderungan menokok tambah sesuatu
peristiwa yang sangat jarang berlaku. Hal ini menjelaskan kecondongan orang
ramai membeli loteri dan insurans nyawa.
Orang suka menokok tambah sesuatu kejadian atau peristiwa yang
jarang berlaku terutamanya yang berkaitan dengan bencana. Salah satu
sebabnya adalah kerana heuristik boleh didapati dengan mudah kerana
terdapat kejadian atau peristiwa sebagai contoh. Sebagai contoh, dalam satu
kajian, orang terlebih anggar tentang jumlah kematian akibat bencana angin
puting beliung, dan memperkecilkan jumlah kematian akibat penyakit lelah
yang berlaku 20 kali lebih kerap tetapi tidak menjadi tajuk utama akhbar.
Orang menganggarkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya lebih
tinggi daripada penyakit, walaupun kematian akibat penyakit 16 kali lebih
kerap daripada kemalangan jalan raya.
Kadang-kadang orang mengadakan-adakan cerita yang tidak berasas
tentang peristiwa yang tidak mungkin berlaku, seperti mati kerana nahas kapal
terbang. Sebaliknya mereka tidak mahu memikirkan bahawa sebenar seperti
kadar pertumbuhan kanser akibat lapisan ozon dalam atmosfera bumi. Ibu
bapa takut tentang ancaman yang jarang terjadi kepada anak-anak mereka,
seperti diculik atau reaksi fatal kerana pelalian (kedua-duanya menakutkan
tetapi sangat jarang berlaku) berbanding masalah yang lebih kerap berlaku
seperti tekanan emosi, rosak akhlak atau gred yang rendah (Stickler et al.,
1991).
2. Takrif rugi
Lazimnya, orang membuat sesuatu keputusan dengan mengurangkan risiko
dan kerugian. Sebagai contoh, jika anda perlu memilih antara dua program
kesihatan untuk membendung satu penyakit yang dijangka membunuh 600
orang. Yang manakah anda pilih, satu program yang sudah tentu
menyelamatkan 200 orang atau program dengan satu pertiga kebarangkalian
menyelamatkan semua 600 orang atau program dengan kebarangkalian
menyelamatkan sifar orang? Apabila subjek (termasuk ahli fizik) ditanya
soalan ini, kebanyakannya memilih program yang paling pertama. Dengan
perkataan lain, mereka menolak program yang paling berisiko tetapi
menguntungkan. Walau bagaimanapun, kajian yang sama mendapati bahawa
orang akan mengambil risiko jika mereka melihatnya sebagai cara untuk
mengelakkan kerugian. Subjek kajian diminta memilih satu daripada tiga
program yang perlu dilaksanakan. Jika program yang pertama dilaksanakan
maka 400 orang pasti mati, program kedua mempunyai satu pertiga
kebarangkalian bahawa 600 orang akan mati. Jika kita berfikir seketika
tentang program ini, kita akan melihat bahawa alternatif yang diutarakan
adalah sama dengan masalah yang pertama; sekadar disampaikan
menggunakan perkataan yang berlainan. Tetapi kali ini, kebanyakan orang
memilih penyelesaian yang kedua. Mereka menolak risiko apabila mereka
fikir tentang bilangan nyawa yang perlu diselamatkan. Mereka sanggup
menerima risiko apabila mereka berfikir tentang bilangan nyawa yang
terkorban (Tversky & Kahneman, 1986).
3. Mempertahankan kepentingan diri
Apabila kita membuat sesuatu pertimbangan yang ada kena-mengena dengan
diri kita, kita condong berfikir berdasarkan motif yang menguntungkan kita.
Dengan itu kita dikatakan mempertahankan kepentingan diri. Kita mengambil
berat tentang bukti-bukti yang dapat mengesahkan kepercayaan kita tanpa
menghiraukan bukti yang bertentangan dengan kepentingan diri kita. Bahkan
kita akan cuba mencari salah di mana-mana (Kunda, 1990). Kita mungkin
berfikir kita bertindak rasional tetapi kita hanya menipu diri sendiri. Keadaan
ini berlaku dalam diri kita, kawan-kawan, dan orang lain. Apabila seseorang
mahu mempertahankan kepercayaannya, dia akan mencari justifikasi yang
boleh diterima akal (Kuhn, Weinstock, & Flaton, 1994).
Kecondongan pentingkan diri turut mempengaruhi reaksi pelajar
terhadap perkara yang dipelajarinya. Apabila pelajar membaca dapatan
saintifik yang mempersoalkan salah satu daripada perkara yang menjadi
kepercayaan pelajar atau yang mencabar kematangan tindakannya, pelajar
cenderung untuk mengurangkan kekuatan kajian tersebut. Tetapi jika sesuatu
kajian menyokong pendapatnya, pelajar akan menutup kekurangan yang
terdapat pada kajian tersebut. Di sini berlaku double standard kerana segala
keputusan yang tidak disukai dikritik habis-habisan (Sherman & Kunda,
1989).
Kecondongan mempertahankan kepentingan diri turut mempengaruhi
tanggapan kita tentang dunia fizikal. Katakanlah kita ternampak satu objek
bulat yang berligar-ligar tinggi di angkasa. Jika kita percaya tentang
kewujudan makhluk asing yang kadang-kadang melawat bumi, kita mungkin
melihat objek itu sebagai satu kapal angkasa dan menganggap kepercayaan itu
benar. Jika tidak, kita tentu percaya benda yang kita nampak ialah belon
cuaca.
4. Harapan
Harapan juga mempengaruhi tanggapan kita tentang dunia. Kecenderungan
untuk menanggap perkara yang kita harapkan dipanggil set persepsual.
Sebagi contoh, set persepsual membantu kita memenuhi tempat kosong dalam
ayat yang tidak berapa jelas didengar. Tetapi hal ini juga menyebabkan kita
bersalah tanggapan. Sebagi contoh, jurumudi kapal bernama Walter
mendengar orang di darat menjerit, Hello, Walter...Hello, Walter. Walter
membalas dengan melambai tangan kepada orang di daratan, tetapi setelah
hampir dengan daratan barulah dia sedar bahawa orang tadi memberi amaran
kepadanya dengan berkata, Low water...low water.
6.0 Kesimpulan
Berfikir merupakan cara minda memanipulasikan maklumat. Gambaran mental
tentang objek, aktiviti, dan situasi memudahkan kita menyimpul maklumat daripada
persekitaran.
Bukan semua pemprosesan mental berlaku secara sedar. Proses mental yang
berlaku secara bawah sedar berada di luar kesedaran tetapi boleh dibawa kepada
kesedaran apabila perlu. Proses tidak sedar kekal berada di luar kesedaran tetapi tetap
mempengaruhi tingkah laku.
Taakulan ialah aktiviti mental yang melibatkan inferensi daripada
pemerhatian, fakta, atau premis. Taakulan deduktif sering mengambil bentuk
silogisme. Jika sesuatu premis dianggap benar maka keputusan pun dianggap benar.
Taakulan induktif menyediakan premis yang menyokong sesuatu kesimpulan, tetapi
kesimpulan boleh jadi betul atau salah.
Penyelesaian masalah secara kreatif memerlukan kita melawan set mental
yang terkongkong dan melatih pemikiran secara menyimpang. Situasi tertentu boleh
memupuk kreativiti dan menggalakkan orang untuk memecahkan set mental yang
tegar. Ciri sahsiah seperti tidak patuh kepada sesuatu kebiasaan, kebebasan,
keyakinan, ingin tahu, dan ketekunan turut membentuk kreativiti.
Heuristik yang digunakan untuk membuat keputusan sering kali dipengaruhi
oleh kecondongan kognitif dan cara membuat pilihan. Manusia cenderung menokok
tambah peristiwa yang tidak benar kerana terdapat keinginan untuk mengurangkan
kerugian dan mahu mengesahkan kepercayaan.
Bibliografi
Amabile, Teresa M., 1983. The Social Psychology of Creativity. New York:
Springer Verlag.
Bowers et. al (ed.), 1990. Intuition in the Context of Discovery. Cognitive
Psychology, 22, 72-110.
Copi et. al, 1992. Informal Logic i (2nd ed.) New York: Macmillan.
Druckman, Daniel, & Swets, John A. (eds.) (1988) Enchancing Human
Performance: Issues, Theories, and Techniques. Washington, DC: National
Academy Press.
Emmorey, Karen; Kosslyn, Stephen M.: & Bellugim Ursula (1993). Visual Imagery
and Visual-Spatial Language: Enchanced Imagery Abilities in Deaf and
Hearing ASL Signers. Cognition, 46, 139-181.
Helson, Ravenna; Roberts, Brent; & Agronick, Gail (1995). Enduringness and
Change in Creative Personality and the Prediction of Occupational
Creativity. Journal of Personality and Social Psychology, 6, 1173-1183.
Kagan, Jerome (1989) Unstable Ideas: Temperament, Cognition, and Self.
Cambridge, MD: Harvard University Press.
Kahneman, Daniel, & Treisman, Anne (1984) Changing Views of Attention and
Automaticity. In R. Parasuraman, D.R. Davies, & J. Beatty (eds.) Varieties of
attention. New York: Academic Press.
Kosslyn, Stephen M. (1980) Image abd Mind. Cambridge, MA: Harvard University
Press.
Kosslyn Stephen M., Margolis, Jonathan A.; Barrett, Anna M.; Goldknopf, Emily J.;
et. Al. (1990a). Age Differences ini Imagery Abilities. Child Development,
61, 995-1010.
Kosslyn, Stephen M.; Seger, Carol; Pani, John R.; & Hillger, Lynn A. (1990b). When
is Imagery Used in Everyday Life? A Diary Study. Journal of Mental
Imagery, 14, 131-152.
Kuhn, Deanna; Weinstock, Michael; & Flaton, Robin (1994) How Well Do Jurors
Reason? Competence Dimensions of Individual Variation ini a Jurior
Reasoning Task. Psychological ScienceI, 5, 289-296.
Kunda, Ziva (1990) The Case for Motivated Reasoning. Psychological Bulletin, 108,
480-498.
Langer, Ellen J. (1989) Mindfulness. Reading, MA: Addison-Wesley.
Libet, Benjamin (1985) Unconscious Cerebral Initiative and the Role of Concious
Will in Voluntry Action. Behavioral and Brain Sciences, 8, 529-566.
Paul, Richard W. (1984, September) Critical Thinking: Fundamental to Education
for a Free Society, Educational Leadership, 4-14.
Schank, Roger (1988) The Creative Attitude, New York: Macmillan.
Sherman, Bonnie R., & Kunda, Ziva (1989) Motivated Evalution of Scientific
Evidence.Paper presented at the annual meeting of the American Psichological
Society, Arlington, Virginia.
Stephan, K.M.; Fink, G.R.; Pasingham, R.E.; et al. (1995) Functional Anatomy of the
Mental Representation of Upper Movements in Healthy Subjects. Journal of
Neurophysiology, 73-373-386.
Stickler, Gunnar B.; Salter, Margery; Broughton Daniel D.; & Alario, Anthony (1991)
Parents’ Worries about Children Compared to Actual Risks. Clinical
Pediatries, 30, 522-528.
Tversky, Amos, & Kahneman, Daniel (1986) Ratiobal Choice and the Framing of
Decisions. Journal of Business, 59, S251-S278.
0 comments:
Post a Comment